
Oleh Melati Mohd Ariff Berikut adalah Rangkuman TERKINI Mingguan Bernama mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 29 Okt hingga pukul 11:59mlm 4 Nov 2022. Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 4.91 juta kes. Di peringkat global, lebih 637 juta kes dilaporkan dengan kes kematian sekitar 6.6 juta kes. Jumah pesakit COVID-19 yang sembuh dilaporkan lebih 616 juta. Pandemik COVID-19 yang masuk tahun ketiga sudah merebak ke 228 buah negara dan wilayah. KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kes harian baharu COVID-19 negara meningkat 54 peratus untuk tempoh seminggu (29 Okt - 4 Nov 2022) kepada sebanyak 25,184 dengan kes empat angka dilaporkan dua hari berturut-turut, Khamis (4,711) dan Jumaat (4,360). Jumlah kes harian baharu COVID-19 untuk seminggu sebelumnya (22 Okt-28 Okt) adalah sebanyak 16,346 kes. Kali terakhir negara mencatat kes 4,000 ialah pada 14 Ogos 2022 sebanyak 4,071 kes. Daripada 4,360 kes semalam, Selangor mendahului dengan 1,797 kes, diikuti WP Kuala Lumpur (616), Perak (417), Negeri Sembilan (274), Sabah (254), Pulau Pinang (252), Melaka (172), Kedah (123) dan WP Putrajaya (108). -
BERNAMA
0 Comments