Oleh Melati Mohd Ariff Berikut adalah Rangkuman TERKINI Mingguan Bernama mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 20 Nov hingga pukul 8:30mlm 26 Nov 2021. Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 2.6 juta kes. Di peringkat global, lebih 260 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 5.2 juta. Lebih 235 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 222 buah negara dan wilayah. KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bukan sahaja berdepan dengan Gelombang Keempat penularan COVID-19, Malaysia juga perlu mempertahankan benteng sempadan negara daripada "serangan" varian baharu dari Afrika Selatan iaitu B.1.1.529. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan sedang memantau perkembangan varian baharu itu yang mempunyai 32 mutasi spike protein, iaitu dua (2) kali ganda lebih banyak daripada varian Delta. Berkuatkuasa esok (27 November), sekatan sementara dikenakan kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Nambia, Afrika Selatan dan Zimbabwe. -BERNAMA

0 Comments