Oleh Melati Mohd Ariff Berikut adalah Rangkuman Mingguan Bernama mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 6 Ogos hingga pukul 12:00tgh 12 Ogos 2022. Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 4.72 juta kes. Di peringkat global, lebih 593 juta kes dilaporkan dengan kes kematian sekitar 6.44 juta kes. Lebih 565 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 yang masuk tahun ketiga sudah merebak ke 228 buah negara dan wilayah. KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sejumlah 23,085 kes harian baharu direkod sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (6 Ogos-11 Ogos 2022), menurun sedikit berbanding 24,214 kes untuk tempoh yang sama (30 Julai-4 Ogos 2022). Sepanjang tempoh Rangkuman ini, angka kes harian baharu berada di bawah paras 5,000 dengan yang tertinggi sebanyak 4,896 kes pada 10 Ogos 2022. Semalam (11 Ogos) sebanyak 4,831 kes harian baharu dilaporkan termasuk enam (6) kes import. Terdapat 10 kes kematian pesakit COVID-19, menjadikan jumlah kematian untuk tempoh Rangkuman ini sebanyak 57 kes. Kumulatif kes kematian akibat COVID-19 setakat ini sebanyak 36,066 kes. -BERNAMA

0 Comments